Jemaah

Monday, 4 February 2013

20 Perkara Yang Boleh Menggugurkan Syahadah

Semoga kita dijauhkan

Para pengunjung yang saya hormati, apabila kita membincangkan isu yang menyentuh aqidah..ianya akan menjadi sedikit sensitive..walaupun demikian kita tidak dapat lari dari menyatakan hal-hal yang membabitkan kebenaran. Setiap kita yang beragama Islam selalu berasa mudah untuk mengucapkan dua kalimah shahadah:

“Aku bersaksi bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya) melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah Pesuruh Allah.”

Walau bagaimanapun realitinya tidak semua yang benar-benar menjiwai shahadah itu sendiri serta keagungannya. Persoalan aqidah bukanlah perkara yang boleh dientengkan, aqidah adalah persoalan asas di dalam Islam, ianya perlu sahih, betul dan tidak ada cacat-celanya. Sebarang kecacatan yang wujud secara tidak langsung membolehkan tergelincirnya aqidah sekaligus meletakkan kita setaraf dengan penganut agama lain yang membelakangkan Allah Subhanahuwataala. Tidak dinafikan ramai yang berkata “Ahhh..apa susah..kalau dah terlanjur kita mengucaplah semula..dah Islam balik”.
Don't play-play aaa
Para pengunjung sekalian, perkara Shahadah dan Aqidah bukanlah perkara yang boleh diperlekehkan dan dianggap enteng dan apa yang perlu kita ketahui ialah Shahadah dan Aqidah bukanlah perkara yang boleh dipermain-mainkan. Amal-ibadah yang kita lakukan akan sempurna apabila aqidah kita sempurna. Di dalam buku bertajuk yang ditulis oleh As-Syahid Sayed Qutub, As-Syaikh Said Hawa dan Abu 'Ala Al-Maududi" bertajuk “Iman dan 20 Perkara Yang Membatalkan Shahadah” secara ringkasnya menjelaskan 20 perkara yang boleh membatalkan syahadah seorang muslim dan perlu diberi perhatian.

1. Tawakkkal atau bergantung harap kepada sesuatu selain daripada Allah. Sebagai contoh yang mudah apabila kita yakin bahawa tangkal yang kita guna mampu mengelakkan kita dari ditimpa musibah.

2. Mengengkari nikmat Allah samada yang terang atau tersembunyi, sesuatu yang mudah difikir atau yang memerlukan kajian. Bertegas bahawa rezeki yang kita terima adalah hasil daripada seseorang atau berkeras bahawa rezeki yang seseorang terletak ditangan kita.

3. Beribadat khusus, berkerja atau berkhidmat dengan tujuan selain daripada Allah kerana segala yang kita lakukan mestilah selari dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Aspek ini melibatkan soal riak, bermuka-muka sebagai contoh apa saja pekerjaan kita aalah demi kepentingan kedudukan kita di dalam sesebuah organisasi dan agar mendapat perhatian pihak yang disasarkan dan tidak wujud sifat ikhlas.

4. Menggubal undang-undang atau peraturan mengikut kemahuan manusia bukan mengikut ketentuan Allah sedangkan hanya Allah sahaja yang berhak menentukan peraturan manusia. Sebagai contoh bertekad bahawa aturan-aturan serta perundangan ciptaan manusia adalah lebih sesuai dengan keadaan semasa dan perundangan Islam adalah terbatas sekaligus menjadi factor kepada kemunduran umat Islam.

5. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukaiNya.
????
6. Menjalankan hukuman yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujukkan kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

7. Membenci atau menentang sesuatu perkara yang berhubung dengan Islam atau pun membenci agama Islam secara keseluruhannya.

8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat di mana dia menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam kehidupannya.

9. Menghina sesuatu daripada al-Quran atau hadis atau pun kitab orang alim yang menegakkannya atau pun mempersendakan hukum daripada hukum Allah.
Camano tu???
10. Menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah

11. Tidak beriman kepada semua sumber hukum daripada al-Quran dan Hadith.

12. Melantik orang kafir dan munafik menjadi pemimpin serta tidak mencintai orang yang berakidah Islam dan beriman.

13. Tidak beradab dalam pergaulan dengan Rasulullah S.A.W. di mana bagi mereka yang datang selepas kewafatannya mesti beradab dalam percakapan, penulisan dan syarahan.

14. Rasa takut dan gentar dalam menegakkan Islam dan rasa lapang, riang dalam menegakkan perkara syirik.

15.Menyatakan bahawa al-Quran terdapat pertentangan antara ayat yang zahir dan isi yang terkandung dalam ayat itu dan juga menyatakan bahawa isi yang terkandung dalam ayat al-Quran hanya boleh difahami oleh setengah orang melalui ilham. Begitu juga bagi mereka yang menuduh perkara demikian terhadap sunnah nabi.

16. Tidak mengetahui tentang makrifat Allah dengan pengenalan yang jelas serta mengengkari sifat ketuhananNya atau nama-nama Allah.

17. Tidak mengetahui atau mengenali Rasul dengan betul atau menafikan bahawa adanya sifat yang terpuji yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya atau menghina sifat kepujian atau tidak beriktikad bahawa baginda adalah sebagai contoh ikutan utama bagi umat manusia.
Renungan..
18. Mengkafirkan orang yang mengucap dua kalimah syahadah serta tidak mengkafirkan orang yang telah engkar syahadah dan tidak menghalalkan perang dengan mereka. Suatu kaedah : "Sesiapa yang mengkafirkan orang mukmin maka ia menjadi kafir, sebaliknya sesiapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka dia menjadi kafir. Sesiapa yang syak tentang kekafiran orang kafir maka dia juga menjadi kafir."

19. Membuat sesuatu pekerjaan (ibadat) bukan kerana Allah seperti sembelih binatang bukan kerana Allah, sujud dan tawaf pada selain Baitullah dengan niat mendekati Allah.

20. Bersifat riya’.

Para pengunjung yang saya hormati, saya yakin akan wujud dikalangan pengunjung yang akan berpendalat coretan ini adalah untuk menyindir sesetengah pihak terutama pada siri 4, 6, 10, 11, 15 dan 18. Itu bukanlah niat saya, apa yang saya ketengahkan ialah sebagai panduan untuk kita umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah songsang yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang mempunyai kepentingan politik. Apa yang penting bagi saya ialah agar kita sama-sama dapat berkongsi ilmu dalam membentuk sahsiah diri serta berpaksikan Islam.

No comments:

Post a Comment