Jemaah

Saturday, 6 October 2012

Kepentingan Akal Untuk Berfikir

Membangun minda bererti memperkaya dan memperkasa akal budi untuk melakukan lonjakan ketamadunan. Ianya berkai rapat dengan tahap pembangunan sesebuah negara dan tahap kejayaan sesebuah bangsa. Faktor ini sudah tentunya dipengaruhi oleh kualiti dan orientasi minda anak bangsa. Walau bagaimanapun pembangunan minda tidak akan bermakna sekiranya pembinaan sikap percaya diri dinafikan.

Kita harus membina keupayaan berfikir secara rasional, objektif dan bijaksana yang mana ianya akan menggalakkan kesuburan budaya ilmu, kemerdekaan berfikir dan kebebasan bersuara. Pembudayaan ilmu harus dilakukan dengan mendaulatkan nilai ilmu, membina semangat cintakan ilmu, membanyakkan bahan-bahan ilmu dan mengangkat  martabat para ilmuan.

Berfikir  tanpa ilmu tidak membantu pembangunan minda. Demikian juga berilmu tanpa berfikir. Objektif membangunkan minda hanya tercapai jika masyarakat dididik menggunakan ilmu sebagai modal berfikir sekaligus menyumbang kepada penciptaan ilmu baru yang dapat meningkatkan martabat sesuatu bangsa dan menjadikan mereka sebagai penyumbang  ilmu dalam tamadun dunia.

 Berfikir juga harus berorientasikan kepada realiti, lojik-saintifik dan imaginatif. Orientasi sedemikian akan dapat membina minda kreatif yang berupaya menghasilkan reka cipta. Walau bagaimanapun prinsip asas agama dari segi kebesaran dan ketauhidan Ilahi  perlulah dijadikan sandaran utama dalam usaha meneroka dan mencipta ilmu agar tidak terbabas dari landasan Islam. Kebebasan berfikir tidak harus tergelincir hingga menidakkan kewujudan Tuhan pencipta sekalian alam, makhluk dan isi bumi.

Pegangan  kukuh terhadap agama akan memandu kepada penciptaan ilmu yang meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan dan kesejagatan. Penerokaan, penemuan, penguasaan dan penciptaan ilmu lebih perlu diberikan makna dan erti melalui sifat yang diamalkan oleh para ilmuan. Insan berilmu memiliki kekuatan dari kesediaan untuk terus menerima pandangan, menerima teguran, menerima nasihat, menerima pendapat dari pihak lain.

Ilmu tidak mati, ia tidak berakhir, Ilmu akan terus hidup selagi manusia mengguna dan perkembangkannya.

No comments:

Post a Comment