Iqraq...bacalah |
TURUNNYA wahyu pertama
pada malam 17 Ramadan bermakna bermulalah panduan mutlak dari Allah SWT untuk
membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan. Melalui perantaraan Nabi
Muhammad SAW, Allah SWT sebelumnya membersihkan hati baginda lalu meniupkan roh
agama dengan meletakkan kalimah 'Iqraq atau Bacalah' sebagai asas untuk membuka
minda dan seluruh jiwa umat Islam.
Pada malam menerima wahyu
pertama itu, Rasullullah SAW sedang beribadat di Gua Hira' bagi mencari
penyelesaian malapetaka yang sedang dihadapi oleh umat Islam, yakni serangan
dan tohmahan daripada kaumnya sendiri, iaitu bangsa Quraisy yang masih tebal
dengan nilai-nilai jahiliyah.
Al-Quran yang diturunkan
secara berperingkat-ringkat membawa panduan kepada umat Islam untuk membuat
sesuatu keputusan berhubung permasalahan kehidupan dan keummatan selain
kejernihan dimensi beribadat selaras dengan erti Islam itu sendiri, iaitu cara
hidup yang berbekalkan prinsip penyerahan kepada keesaan Allah SWT dan berada
dalam jemaah yang sama-sama meniti keberkatan setiap usaha dan tindakan.
Misi al-Quran sebagai
rahmatan lil-'Alamin mengajarkan setiap hati dan jiwa orang Islam untuk hidup
dengan sifat kelembutan dan kebaikan. Menerusi nilai-nilai kelembutan dan
kebaikan itulah merintis dimensi kerahmatan, termasuk untuk diri sendiri,
keluarga dan orang lain. Untuk diri sendiri, al-Quran mengingatkan setiap orang
betapa pun cerdik pemikiran yang dimiliki, ia tetap merupakan sifat sementara
dan atas limpah kurnia-Nya.
Dalam meraih keberkatan
untuk diri sendiri, setiap orang Islam wajib mempertingkatkan rasa dan
tanggungjawab keimanannya dalam kerangka 'hidup dan mati ditentukan oleh Allah
SWT'. Seluruh proses penyerahan diri itu memberikan makna keluhuran jiwa
sehingga yakin setiap apa yang berlaku mempunyai kaitannya dengan restu Allah
SWT, maka itulah manusia memerihalkan kekurangan diri, manusia hanya boleh
merancang Allah SWT yang menentukannya.
Bersihkanlah hati dengan kalimah Allah |
Landasan keimanan itu
perlu dibina menerusi ritual berterusan dan diulang-ulangi setiap masa.
Misalnya, apabila tiba masanya mendirikan solat, umat Islam akan memulakan
peribadatan itu dengan meletakkan diri sebagai hamba manakala Allah SWT sebagai
'tuan' yang berhak disembah atas kebesaran-Nya yang tidak boleh ditandingi
semua makhluk dan ikon yang digambarkan sebagai perkasa, hebat dan kuat.
Kekuatan yang ada pada makhluk itu tidak boleh menyaingi kekuatan Allah SWT
sampai bila-bila pun.
Setelah membina keimanan
dalam diri, manusia dipertanggungjawabkan pula untuk memenuhi keperluan orang
lain. Manusia yang tidak memberikan perhatian kepada manusia lain pada
hakikatnya ia tidak mampu mencapai sifat rahmat, kerana dalam dirinya tidak
mempunyai kelembutan, kasih sayang dan kehalusan hatinya yang dapat dikongsikan
bersama.
Menurut Quraish Shihab,
"Rahmat yang menghiasi diri seseorang, tidak luput dari rasa pedih yang
dialami oleh jiwa pemiliknya. Rasa itulah yang mendorongnya untuk mencurahkan
rahmat kepada yang dirahmati. Rahmat dalam pengertian demikian adalah rahmat
makhluk, Allah SWT tidak sedemikian
Rahmat dan kasih sayang
kepada semua makhluk itulah yang menuntut setiap muslim memelihara dan mengajak
manusia mendekatkan seluruh jiwanya menuju tujuan penciptaan-Nya.
Menurut Imam al-Ghazali,
setiap aktiviti yang memperoleh rahmat adalah menerusi kasih sayang untuk
mengalihkan sikap lengah dengan memberinya nasihat secara lemah lembut, tidak
dengan kekerasan, memandang orang berdosa dengan pandangan kasih sayang, bukan
dengan gangguan, serta setiap kederhakaan yang terjadi itu tidak disisihkan
begitu sahaja.
Secara keseluruhannya
al-Quran memandu manusia untuk membudayakan kebajikan dalam seluruh dimensi
kehidupan bagi mencapai tahap kerahmatan dari Allah SWT.
No comments:
Post a Comment