Semoga Allah memberkati kita semua dari fitnah Akhir Zaman |
Dalam arus pembangunan dan kemajuan yang pesat umat Islam perlu berhati-hati agar mereka tidak terjatuh ke dalam fitnah yang berlaku secara terang-terangan di hadapan mata mereka serta yang berlaku tanpa di sedari dan tanpa dilihat dengan mata kasar mereka. Islam tidak memusuhi kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh manusia tetapi Islam menetapkan agar pembangunan dan kemajuan dikawal oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Allah SWT telah menegaskan dalam surah al Anfal ayat 28, yang bermaksud:
"Dan ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak
kamu adalah fitnah (ujian). Dan sesungguhnya Allah di sisiNya balasan yang
sangat besar."
Awaslah sentiasa dengan fitnah-fitnah yang berlaku melalui percakapan, pekerjaan, aqidah dan ideologi yang menyesatkan, fitnah menyaksikan kemungkaran dan maksiat yang berlaku di hadapan mata kerana semua bentuk fitnah tersebut boleh menghalang dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Umat Islam sendiri boleh menghakis keimanan dan ketaqwaan kita dan sekaligus melemahkan ubudiyah kita kepada Allah SWT. Dalam usaha menyekat fitnah-fitnah ini kita perlu memahami dua perkara asas iaitu :
1. Memahami Islam sebagai ad-din melalui sumber-sumber yang muktabar atau dalam pengertian lain yang lebih khusus, memahami Islam malalui al-Quran dan Sunnah ar-Rasul SAW. Mempelajari Islam daripada ulamak-ulamak yang jelas kefahaman mereka mengenai Islam serta keiltizaman mereka dengan ajaran Islam dalam sebarang suasana. Dalam memahami Islam kita perlu belajar dan berakhlak Islam serta iltizam dengan ajarannya.
2. Memahami keadaan yang ada sama ada Islamik atau tidak. Dalam perkataan lain memahami realiti dari segi aqidahnya, ibadahnya, syariatnya, akhlaknya dan nilai-nilai lain. Adakah ia berasaskan Islam atau pun tidak?
Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengelakkan diri daripada terjatuh dalam fitnah yang menimpa umatnya laksana malam yang gelap gelita. Antara sabda-sabda Baginda ialah:
"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah
yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi
seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada
sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir.
Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."
"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan
lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’.
Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab:
harju adalah pembunuh."
"Sesungguhnya pada diri Rasul SAW itu ikutan yang baik bagi kamu" dan beramal dengan hadis yang bermaksud:
"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin,
Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu (yakni peganglah
kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."
Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan. Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?". Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu meraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".
Rasul SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. Sabda Rasul SAW bermaksud:
"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak terdapat
seorang pun yang menunaikan janjinya."
Justeru, bagi menyekat fitnah yang menyerang umat Islam dari segenap penjuru, maka perlulah umat Islam hari ini memperkuat dan memeperkemaskan benteng pertahanan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan segala macam fitnah yang disebutkan tadi. Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 bermaksud:
"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka yang
zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya."
No comments:
Post a Comment