Jemaah

Sunday, 26 January 2014

APA ITU KAFIR DAN SIAPA MEREKA?

Kaf fa ra..hanya 3 huruf tapi kejahatannya????
Suatu ketika dahulu, bila kita bercerita perihal orang-orang kafir, maka secara automatis akan terjawab dibenak fikir kita bahawa mereka adalah golongan yang menentang Islam sekaligus menafikan kandungan Al Quran, Hadith Rasullullah S.A.W serta ajaran baginda. Walau bagaimanapun pada zaman ini perkataan “kafir” itu sudah dikelirukan oleh orang kafir supaya kefahaman “kafir” yang sebenar itu menjadi kabur maknanya. Siapakah sebenarnya orang-orang kafir yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadis?

Bagi sesetengah orang yang dilahirkan Islam tidak merasa bersalah dan marah jika seseorang itu dikatakan “kufur” tetapi jika orang itu disebut “kafir” maka menyeringailah mereka. Sedangkan perkataan “kufur” itu menunjukkan kepada perbuatan dan “kafir” itu pelaku.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani (kristian) pula mangaku dan memberitahu melalui dakyah mereka bahawa mereka bukan orang-orang kafir kerana mereka tidak kufur. Mereka adalah ahli kitab agama samawi (langit) mempercayakan Nabi Musa ‘Alaihissalam dan Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam serta mempercayakan adanya tuhan. Dalam konteks ini secara tidak langsung, kenyataan tersebut mampu mempengaruhi umat yang kurang pegangan aqidahnya. Ada pun dijelaskan bahawa wujud tiga jenis kafir atau puak yang perlu kita fahami iaitu:

1.       Puak yang pertama tidak beriman kepada Allah Subhanahu Wata’alaa dan Rasul-Rasul seluruhnya.

2.       Puak yang kedua beriman kepada Allah Subhanahu Wata’alaa sahaja dan tidak beriman kepada Rasul-RasulNYA.

3.       Puak yang ketiga pula beriman kepada setengah Rasul-rasul dan kufur (ingkar) kepada setengahnya yang lain, seperti Yahudi yang beriman kepada Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kufur (ingkar) kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Bagaimana dengan dia???
 Kaum Nasrani (kristian) beriman kepada Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam dan Nabi Musa ‘Alaihissalam, tetapi tidak beriman kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Puak yang ketiga itulah yang banyak membuat angkara jahat dan mengadakan peperangan demi peperangan sama ada dalam bentuk peperangan ketenteraan dan persenjataan atau peperangan saraf (psychological warfare) atau peperangan ideologi mereka terhadap Islam dari zaman berzaman hingga ke hari ini. Yahudi dan Nasrani juga menggunakan dakyah-dakyah mereka melalui pendidikkan, gaya hidup, ekonomi, hiburan dan berbagai-bagai lagi.

Oleh itu amat perlu dan menjadi tanggungjawab setiap umat Islam membaca dan mengambil i’tibar daripada kisah-kisah kafir puak yang ketiga itu yang dikisahkan oleh Allah Subhanahu Wata’alaa dalam Al-Quran Al-Karim dan Hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam supaya dapat mengekang sebaran-sebaran dakyah mereka yang salah dan bertujuan jahat itu.

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah An-Nisaa’, Ayat 150, dan Ayat 151 (maksudnya):

“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNYA, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNYA, dan (orang-orang yang) berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:” Ayat 150.

“Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan KAMI telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu ‘azab siksa yang menghina.” Ayat 151.

KISAH NABI ALLAH ‘UZAIR “EZRA” ‘ALAIHISSALAM

Nabi Allah ‘Uzair “Ezra” ‘Alaihissalam adalah seorang Nabi bani Israel. Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam seorang hafiz kitab Taurat dan tidak terkenal dalam kaum bani Israel, tinggal di sebuah dusun yang berjauhan daripada Baitul Maqdis.

Pada suatu hari Jibril ‘Alaihissalam datang seraya meminta Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam pergi ke Baitul Maqdis untuk menghimpunkan bani Israel dan mengajar kitab Taurat kepada mereka. Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam pun keluar dengan menaiki keldai. Dalam perjalanannya, Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam melalui negeri Baitul Maqdis yang telah ranap hancur lebur dan penduduk-penduduknya bertempiaran lari ke sana sini. Ramai pula yang mati dibunuh bergelimpangan merata-rata tempat.

Sebelum tibanya Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam di Baitul Maqdis, seorang raja yang kuat dan zalim bernama Bakhtun-Nasr dengan bala tenteranya telah menyerang dan membunuh penduduk-penduduk di situ, orang-orang alim dan semua hafiz-hafiz kitab Taurat. Bukan itu sahaja yang dilakukannya, Bakhtun-Nasr juga mengarahkan askar-askarnya supaya meruntuh rumah-rumah tempat ibadat dan mengoyak serta membakar habis-habisan segala kitab-kitab Taurat sehingga tiada lagi tertinggal.

Tatkala Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam melihat keadaan yang menyayatkan hati itu dan melihat ramai orang-orang yang mati, maka tergerak lintasan pertanyaan dalam hati kecil Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam bahawa bagaimana Allah Subhanahu Wata’alaa akan menghidupkan negeri ini setelah matinya.

Dalam sepintas kilat laluan ingatan Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam itu, Allah Subhanahu Wata’alaa mematikan Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam dan keldainya di situ selama seratus tahun.

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 259 (maksudnya):

“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan negeri ini sesudah matinya?”. Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman: “(Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikan pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan KAMI (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan KAMI) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana KAMi menyusunnya kembali kemudian KAMi menyalutnya dengan daging. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah ia : “Mengetahuilah aku sekarang (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. Ayat 259.

YAHUDI MENGAKU NABI ALLAH ‘UZAIR “EZRA” ‘ALAIHISSALAM ANAK ALLAH

Setelah Allah Subhanahu Wata’alaa menghidupkan semula Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam beserta dengan keldainya, Allah Subhanahu Wata’alaa memerintahkan supaya ia memasuki Baitul Maqdis dan menghimpunkan bani Israel serta mengajar mereka itu kitab Taurat. Ketika itu tiada seorang pun yang tahu membaca kitab Taurat.

Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam menyeru orang ramai serta memperkenalkan dirinya ialah Nabi ‘Uzair ‘Alaihissalam. Orang ramai dari bani Israel itu meminta Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam membaca kitab Taurat bagi meyakinkan mereka kerana setahu mereka bahawa Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam fasih dan hafiz kitab Taurat. Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam meminta orang ramai pergi ke kaki tiang sebuah bangunan dan mengambil sebuah kitab Taurat yang tertulis dengan dakwat emas yang ditanam oleh seorang wali Allah supaya mereka menyemak bacaannya.

Bacaan hafazan kitab Taurat oleh Nabi Allah ‘Uzair “Alahissalam tiada salah silap walau satu huruf pun. Bacaannya itu nyaring dan merdu sehingga orang ramai tiada tertahan mencintainya dan menyerbu datang dengan tangisan dan hendak menyembah Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam. Mereka mengaku bahawa Nabi Allah ‘Uzair ‘Alaihissalam itu adalah anak Allah.

NASRANI (CHRISTIAN) MENGAKU NABI ‘ISA ‘ALAIHISSALAM ANAK ALLAH

Allah Subhanahu Wata’alaa berfirman dalam Surah At-Taubah, Ayat-Ayat 30, 31, dan 32 (maksudnya):

“Dan orang-orang Yahudi berkata: “’Uzair ialah anak Allah”, dan orang-orang Nasrani (kristian) berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu ; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh perpaling dari kebenaran?” Ayat 30.

CAHAYA ALLAH (AGAMA ISLAM)

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.” Ayat 31.

“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (Agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNYA, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” Ayat 32.


Justeru, persoalan yang ingin saya kemukakan ialah bagaimana di Malaysia. Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment