Jemaah

Sunday, 14 April 2013

PASCA PRU 13 MALAYSIA


Sudah agak lama saya tidak menulis dan menjengah laman sosial ini. Bukannya malas nak update namun disebabkan kesibukan harian maka ianya terpaksa dipinggirkan seketika. Namun demikian, kemelut yang saya lihat menerusi teropong saya berhubung PRU 13 membuatkan saya ingin mengutarakan pandangan saya sendiri akan dilemma Umat Islam dewasa ini.

Menerusi pemerhatian saya, kewujudan dunia siber, tidak membawa erti bahawa semua umat Islam berada dalam keadaan serba moden dan memiliki ILMU sebagaimana yang diharapkan walaupun berpengetahuan global sepenuhnya. Ini kerana tiada analisis yang dilakukan, apa yang dilakukan hanyalah andaian atau assumption without conclusion. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa umat Islam sedang berada dalam kelalaian akibat proses globalisasi negatif yang sedang melanda kehidupan dan pemikiran mereka. Pada pandangan saya ia secara tidak langsung menggambarkan bahawa umat Islam sudah hilang arah dan pedoman hidup, walaupun memiliki Al Quran dan Sunnatul Rasulullah S.A.W.

Di suatu sudut, saya melihat terdapat segelintir umat Islam yang sedang memperjuangkan Islam menerusi wadah politik, namun dari sudut intisari perjuangan..tidak ramai yang memahaminya, lantas timbul kekeliruan di kalangan pendukungnya..tidak lain berpunca dari realiti amalan di dalamnya. Dalam knteks yang lebih mudah, mereka mendakwa bahawa mereka adalah golongan yang memperjuangkan Islam akan tetapi gerak daya perjuangan mereka tidak melambangkan mereka memperjuangkan Islam secara nyata. Sikap berdolak dalik terpapar dari dalam bentuk zahir perbuatan mereka, sikap kedangkalan tentang ilmu Islam terpapar menerusi keputusan yang mereka buat. Jika diperhalusi, golongan ini tidak sehaluan dengan gerakan Islam yang sebenar. Mereka lebih cenderung membina jambatan baru untuk gerakan Islam yang pada mereka sesuai dengan peredaran zaman serta menampung kekurangan yang wujud pada gerakan Islam yang dulu. Di suatu sudut pula, wujud segolongan para pemimin Islam yang rancak berdendang serta bertikan lidah kononnya memperjuangkan Islam, namun malangnya tiada hasil mahupun perubahan yang dapat dilihat untuk membangkitkan semula umat Islam.

Dalam masa yang sama wujud pula segerombolan ilmuan yang berhasrat untuk memberi pandangan berdasarkan kajian ilmiah yang telah mereka laksanakan terhaap sesuatu isu atau permasalahan ummah dan penyelesaian yang difikirkan perlu. Walau bagaimanapun pandangan mereka tidak mendapat sambutan atas kepentingan perjuangan sesebuah kumpulan. Hasrat mereka tidak kesampaian malah menerima nasib seperti ayam jantan yang berkokok diwaktu subuh dengan hasrat untuk mengejutkan manusia agar sujud kepada Allah berkesudahan dengan dibaling terompah agar diam dan hentikan kokokan
Asalkan bersatu semua menjadi mudah
Kita juga dalam satu masa mudah mewujudkan spekulasi, kononnya ia adalah hasil dari sebuah analisis walhal kita tahu bahawa isu yang diketengahkan tidak lain hanyalah tohmahan tanpa fakta yang kukuh. Akhirnya wujud implikasi dalam penyebaran maklumat sekaligus menyumbang kepada salah faham di kalangan umat Islam dan apa yang lebih membimbangkan ialah kita secara tidak langsung telah membuka ruang kepada golongan yang berkepentingan untuk MENYUNTIK JARUM KEBENCIAN di dalam hati mukmin dan mukminah agar bertelagah sesama sendiri. Justeru dalam aspek ini, satu jalan penyelesaian perlu dicari, jati diri umat Islam harus dikembalikan. Muzakarah itu amat penting demi perpaduan ummah. 

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment